Putus Tunang : Tom Mystarz LG

Hampir setahun Tom menghilangkan diri dari arena hiburan gara-gara kontroversi dirinya apabila dilaporkan dicederakan sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Damansara, Kuala Lumpur, pada 10 Julai tahun lalu. Insiden itu memberi impak besar kepada Tom atau nama lengkapnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram, 25, dan nyaris memusnahkan karier nyanyiannya yang baru bermula.

Nama juara program realiti, My Starz LG musim ketiga itu menggelegak apabila menjadi mangsa pukul dan difitnah mendera seorang ibu yang sarat mengandung. Tom juga dikatakan menjalin hubungan sulit dengan suami wanita itu namun dinafikannya. Namun, ketika kontroversi itu mula senyap, nama Tom kembali menjadi bualan apabila mengikat pertunangan dengan jejaka itu, Mohd Ferdzaus Muhamad Jamil pada musim Aidilfitri lalu.Cuma seketika kedamaian itu dinikmatinya. Minggu lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Redha itu kembali disapa dengan satu lagi berita panas. Pertunangannya dengan Ferdzaus dilaporkan sudah berakhir. Saat pertanyaan itu diajukan, Tom cuba mengelak dan memohon supaya perbualan mengenai hubungannya dengan lelaki itu tidak diperkatakan.
Namun, Tom akhirnya mengalah dan mengakui hubungannya dengan Ferdzaus sedang melewati fasa yang menguji. Putus atau tidak?
Betul ke cerita Tom sudah putus tunang?
Bukan putus, cuma ketika ini kami mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Ikatan pertunangan itu masih ada tetapi saya tidak mahu komen lebih. Buat sementara waktu, kami memilih untuk menjauhkan diri dan mencari apa yang terbaik dalam hidup kami. Andai ditakdirkan ada jodoh nanti, kami akan teruskan.
Cara menjawab tu, nampak macam Tom cuba sembunyikan sesuatu?
Biar saya berterus terang. Kami bukan baru berkenalan kerana sejak sekolah lagi iaitu di Tingkatan 2 lagi kami dah berkawan baik. Kami pernah bercinta, putus dan baik semula. Cuma, mungkin jodoh itu tidak tertulis antara kami. Kami pernah berdepan kegagalan rumah tangga, malah kembali menjadi rapat selepas insiden hitam itu. Disebabkan itu saya tidak berani cakap kami sudah putus. Saya dan dia cuma menyerahkan segala-galanya kepada jodoh. Jika dia memang ditakdirkan untuk saya, kami pasti akan bersatu. Jika sebaliknya, saya terima dan reda.
Nampaknya Tom lebih popular dengan cerita lelaki dan isu peribadi, bukan bakat?
Ikutkan hati saya sudah malas berfikir mengenai lelaki. Mungkin saya kurang bernasib baik. Dari dulu percintaan saya tidak pernah menjanjikan kebahagiaan. Saya sendiri tidak tahu apa kesudahan ikatan pertunangan ini. Saya sudah biasa diuji begini, biarpun perit saya redah juga. Biarlah orang nak cakap apa pun. Mereka tak pernah berada di tempat saya. Sebagai manusia saya pun mengharapkan segala yang terbaik dalam hidup ini. Namun, jika Allah menghendaki sebaliknya, apa daya saya?
Bagaimana kalau ada yang menyalahkan Tom jika hubungan itu putus?
Lantaklah apa orang nak cakap! Saya sudah puas menelan pandangan serong dan kata penghinaan daripada orang yang tidak dikenali. Saya sudah lali, jadi cakaplah apa yang mereka mahu bercakap. Tuhan memilih saya menerima dugaan berat ini kerana mahu menguji kekuatan dan ketabahan hati saya. Saya tidak marah atau kesal kerana jika tidak diberi peluang menempuh semua ujian ini, saya mungkin tidak akan jadi berani dan matang seperti hari ini. Dulu ketika mula dihimpit kontroversi, saya jadi malu dan takut berdepan orang ramai. Sekarang saya sudah berani terima apa saja.
Jika ada orang beranggapan Tom seperti tidak serik dilanda kontroversi?
Kontroversi yang datang itu bukan permintaan saya. Daripada awal saya masuk industri, saya pasang niat untuk menjual bakat. Tetapi lain pula yang terjadi. Gara-gara isu pergaduhan hingga saya dituduh mengganggu rumah tangga orang, nama saya tiba-tiba popular. Masyarakat nampaknya lebih berminat untuk tahu kisah peribadi saya, berbanding penat lelah saya di studio menghasilkan album. Biarlah orang mentafsir apa saja, saya malas nak ambil tahu lagi.
Masih berbekas kisah kontroversi dulu?
Sampai hari ini orang masih memperkatakan hal itu. Saya terpaksa mengambil keputusan meninggalkan Kuala Lumpur dan pulang ke kampung di Taiping untuk mencari semula diri yang hilang. Selepas hampir empat bulan di kampung, saya nekad pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan siri promosi album yang tertunda. Baru saja mahu bermula, tiba-tiba saya dijengah isu putus tunang pula. Saya tidak tahu sampai begitu sekali pergerakan saya diintip dan dihidu. Mujur saya pernah berdepan masalah berat dulu, jadi apabila kembali diterpa isu sensasi, saya jadi lebih bersedia. Cukup-cukuplah memalukan saya.
 -Sumber Berita Harian

Nota : Mungkin perkara ini dapat menjadi pengajaran buat TOM dan tunangnya dan artis-artis serta mana-mana pihak agar tidak menyakiti hati orang lain. Kami tidak bermaksud memperli atau memihak pada mana-mana pihak, kerana kami dan orang lain juga merasakan ianya sebagai satu pengajaran yang dapat di jadikan ingatan untuk masa hadapan.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 comments

Leave a Reply