Sekat Rancangan Nampak Aurat

Paparan drama, telefilem dan rancangan-rancangan berkaitan agama Islam amat sesuai dengan nama stesen TV baru di Malaysia, Al-Hijrah. Al-Hijrah sekali lagi, menegaskan, pihaknya sentiasa memantau semua rancangannya terutama sekali jika ia berkaitan sensitiviti melibatkan aurat yang melanggar garis panduan, syarat yang ditetapkan stesen televisyen itu. Walaupun begitu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bukhari Che Muda berkata penapisan yang dilakukan adalah mengikut kesesuaian cerita dan tidak mencacatkan mesej yang ingin disampaikan dalam sesebuah rancangan tersebut. Kenyataan terhadap media, kali ini adalah kerana, laporan sebuah akhbar yang menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat stesen TV Al-Hijrah apabila masih terdapat adegan menampakan aurat dan bersentuhan lelaki dan perempuan baru-baru ini.
Sebelum ini, TV Al-Hijrah telah memberi amaran kepada mana-mana penerbit yang ingin memaparkan rancangan di stesen TV berkenaan, agar mematuhi syarat-syarat, di antaranya tidak menghasilkan drama yang memaparkan adegan bersentuhan di antara pelakon lelaki dan wanita selain menampakkan aurat. Tambah beliau, 30 peratus produk luar yang diimport akan ditapis terlebih dahulu sebelum ditayangkan kepada umum. Beliau juga berharap lebih banyak penonton dapat menonton TV Al-Hijrah dengan adanya 17 rancangan terbaru di stesen TV tersebut, seperti Muhasabah Ramadan, Taddarus Al Quran, Ramadhan Di Australia, Juadah Iftar, Resepsi Umi, Man Jada, One Month Ramadan In Kuala Lumpur, Chef, Umme, Hostel Ramadan, My Fasting dan Fattabiouni serta ulang tayang drama terbaik Kitab Cinta.Berikut ulasan beliau kepada media.
“Kami memang tegas mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu cara pemakaian yang menutup aurat, dialog dan cara lakonan yang tidak bersentuhan di antara lelaki dan perempuan.
“Namun mungkin ada adegan yang kami tidak boleh potong kerana ia akan mencacatkan jalan cerita atau mesej yang ingin disampaikan.
“Apa yang lebih penting yang kami nilai ialah mesej keagamaan yang ingin disampaikan kepada penonton,” jelasnya pada sidang media Majlis Ramadan Satu Perjuangan, di sini, Khamis.
Bukhari diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan keraguan terhadap garis paduan oleh pihak stesen televisyen berkenaan apabila masih terdapat drama yang ditayangkan menonjolkan adegan bersentuhan dan tidak menutup aurat.
“Kita mempunyai sebanyak 30 peratus produk iaitu drama atau program luar yang kita import, kebanyakan program tersebut menonjolkan budaya masyarakat negara masing-masing.
“Sudah tentu sukar untuk kami membuat tapisan, namun apa yang kami utamakan ialah mesej yang ingin disampaikan itu lebih memberi manfaat,” katanya.
Dalam pada itu, sempena Ramadan ini stesen televisyen tersebut akan menambah waktu siaran kepada 24 jam pada Jumaat, Sabtu serta Ahad dan 18 jam pada Isnin hingga Jumaat.
Menurutnya, penambahan waktu adalah bagi mengimarahkan bulan mulia itu dengan pengisian yang lebih bermakna.
“Sepanjang bulan Ramadan, waktu siaran bertambah menjadi 144 jam seminggu berbanding 102 jam seminggu sebelum ini.
“Penambahan ini bagi memberi pengisian yang bermakna sesuai dengan bulan Ramadan dalam pelbagai genre yang memenuhi selera pelbagai lapisan penonton,”
“Kami memaparkan program yang seratus peratus berunsur keagamaan dan berkonsepkan Ramadan bukan hanya sekadar satu slot seperti stesen televisyen lain.
“Selain itu kami juga akan menayangkan kembali drama bersiri Kitab Cinta atas permintaan ramai,” jelasnya yang mengakui terdapat peningkatan kos apabila penambahan waktu siaran.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 comments

Leave a Reply