Memberi jolokan hodoh kepada pelakon Julia Ziegler yang digantikan dengan panggilan “Julia Si Gila” memang cukup keterlaluan. Gelaran yang dipercayai berpunca daripada orang dalam industri itu juga dijadikan bahan jenaka setiap kali menjalani penggambaran di lokasi baru.
“Saya dah hilang sabar bila orang suka hati saja mengejek nama keluarga saya. Apa ingat saya ini batu ke?,’’ gumam Julia menyentuh tentang masalah yang membelenggu sejak kebelakangan ini.Menurut Julia sendiri, dia mendengar sendiri tentang gelaran memalukan itu semenjak sekian lama, tetapi sebelum ini dia cuba pendamkan hanya di dalam hati.
Bagaimanapun, pada pertemuan bersama Pancaindera baru-baru ini, Julia sudah tak tahan lagi. Baginya, pendedahan tersebut bukan bertujuan untuk memalukan diri atau memburukkan keadaan. Tapi peringatan buat mana-mana pihak yang kerap memperkecilkan dirinya.
“Mula-mula memang saya boleh tersenyum lagi. Tapi bila dah lama, saya naik angin. Selamba saja nak mainkan maruah kita.Rasa dukacita memuncak tatkala tiada pihak yang segera meminta maaf kepada pelakon filem Toyol Nakal ini selepas ‘mengenakan’ dirinya. Ada juga cubaan mahu berbuat baik-baik dengannya selepas memalukan dirinya.
“Cuba kalau saya yang mainkan air muka mereka di depan khalayak. Apa pula yang mereka rasa? Mesti rasa macam nak ambil cili dan tenyeh ke mulut orang yang celupar itu”gerutu Julia.
“Saya bukan barang mainan yang mudah saja ditendang ke sana ke mari. Tolonglah. Kita bukan budak-budak lagi. Zaman ejek-mengejek dah tak mainlah.Menurut Julia, bukan jenis yang mengamalkan cara hidup Barat seratus peratus. Darah kacukan yang mengalir di tubuhnya hanya sedikit saja. Itu pun sebab bapanya, Bob Ziegler Abdullah, 60, berasal dari Amerika Syarikat, itu sahaja.
“Bagi saya, kalau orang itu hormat saya sekali, saya akan hormat dia beratus kali. Tapi macam mana saya nak hormat pada orang itu buat dajal pada saya. Minta maaf sajalah, saya tak boleh,” katanya lagi.
Ibu Julia, Saminah Subari, 66, pula berketurunan Melayu dan membesar di Malaysia. Tak ada sebab dia boleh lupa asal usul dan jati diri.
“Perkara ini yang perlu diperjelaskan di sini. Tak semestinya semua anak Mat Salleh itu sosial, macam yang kita tengok di televisyen tu. Kurang ajar pada mak bapa dan buat suka hati saja. Macam orang kurang moral.
“Tapi saya tak macam itu. Saya tahu batas yang perlu saya pelihara. Sebab saya berada dalam lingkungan orang Melayu. Mana boleh berlagak hidup macam Barat. Itu keterlaluan namanya,’’ hujahnya.
Pada masa yang sama, wanita berusia 27 tahun cukup tegas tentang nilai peribadinya terutama melibatkan namanya sendiri. Baginya, perkara tersebut paling dihargai.
Pepatah Melayu ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ disematkan baik-baik di dalam hati.
Justeru, pemilik produksi Zioss Film Sdn. Bhd. ini pasti tidak ragu untuk bertindak sekiranya soal nama dipermain-mainkan.
Sekali gus membenarkan ruangan gosip yang mengatakan Julia dikatakan terpekik di kaunter masuk sebuah gim baru-baru ini. Semua berpunca apabila Julia tak senang dengan kesilapan ejaan nama di kad keahliannya.
“Saya tunggu beberapa bulan supaya pihak gim perbaiki kesilapan nama keluarga saya. Banyak kali saya tegur dan eja satu persatu nama bapa saya, tapi tak ada perubahan langsung.Otak saya okey tau!
“Manusia kalau dah tegur banyak kali tapi tak dengar kata, apa namanya ye? Jadi tak salah bukan kalau saya menegur. Mungkin masa itu saya tak ada mood. Bila ada kesilapan kecil, buat sabar saya mengurang,’’ dedahnya mengimbas kembali peristiwa itu.
Gelombang kemarahan bertambah kencang apabila ada pihak sengaja mengaitkan cerita peribadi Julia dengan mengaitkan kemalangan negeri pada 21 November 2006 lalu.
Tragedi malang tersebut dikatakan punca menyebabkan dia kelihatan tak rasional setiap kali bertindak. Mencacatkan emosi dirinya kerana perlakuan Julia sering tak stabil terutama sekali berinteraksi dengan orang ramai.
“Sebenarnya orang sarkastik memang suka cari kelemahan orang lain. Ingin saya jelaskan bahawa kesan kemalangan lima tahun dulu tak ada kena mengena dengan kelakuan saya.Menurut Julia, banyak pengajaran yang dikutip selepas kecelakaan tersebut.
“Saya cuma mengalami hentakan pada otak. Tapi tak bermakna saya tak ada tengkorak. Saya masih boleh berfikir. Dalaman saya stabil dan boleh beza antara baik atau buruk,’’ jelasnya.
“Orang yang pernah mengalami musibah macam saya akan lebih menghargai kehidupan. Lebih fokus dengan apa yang mereka inginkan.Ditanya adakah Julia sendiri yang menelanjangkan sifat sebenarnya sebelum ini menyebabkan perbuatan memperkecilkan dirinya berterusan, wanita ini pantas menggelengkan kepala.
“Janganlah sebab saya ini artis semua negatif taruh pada saya. Terus menerus menilai buruk tentang saya,’’ ujarnya minta dimengerti.
Wanita yang lahir pada 21 Mei 1984 ini juga berharap agar penjelasannya itu sudah cukup. Segera menutup sisi peribadinya dan memberi satu penjelasan tentang apa yang dilaluinya.
Mengorek tentang kekasih hati, anak ketiga dari empat beradik ini dilihat kurang bersedia dengan persoalan tersebut. Air riak mukanya berbelah bahagi, antara mahu bercerita atau tidak.
“Saya memang agak keberatan cerita tentang soal hati. Saya tahu ada orang di luar sana suka mengata bila seseorang artis itu buka mulut tentang kekasih mereka.Pada masa yang sama, Julia mahu agar ikatan yang dibina bersama teman lelakinya melalui proses matang dengan sendiri.
“Saya tak suka memperbesarkan sesuatu perkara yang belum pasti lagi. Banyak implikasi terhadap saya dan kekasih kalau hubungan kami diketahui umum,” ulasnya menyentuh soal hati.
Biarlah perkenalan itu disahkan dan mendapat restu daripada orang tua di kedua-dua belah pihak, baru Julia bersedia untuk membuka mulut.
Ditanya lanjut tentang strategi Julia mengelak dari bicara tentang teman lelaki sedangkan dia kelihatan cukup bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan, wanita ini sekadar tersenyum lawa.
“Saya mahu stabilkan semua dahulu. Dari segi karier, emosi dan mental perlu seiring. Saya betul-betul tak bersedia nak kongsi gerangan kekasih saya kepada umum.
“Biarlah kali ini saya berahsia. Sebab ini melibatkan masa depan saya. Sebagai wanita, saya memang mendambakan perkahwinan sekali dalam seumur hidupnya.
“Jadi, biarlah ada elemen kejutan kali ini. Saya akan dedahkan siapa dia satu hari nanti. Bila? Pasti akan terjawab satu hari nanti,” katanya yang mahu terus berteka-teki tentang kekasih hatinya itu sehingga di hujung perbualan.
sumber: Minder (cari.com.my)
0 comments