LELAKI bernama Engku Rahmat Engku Ismail atau nama komersialnya Rahmat Ekamatra cukup popular bersama band rock, Ekamatra sekitar penghujung tahun 1980-an dan 1990-an.Lagu Sentuhan Kecundang, Pusara Di Lebuhraya dan Hanya Satu Persinggahan antara lagu sinonim dengan Rahmat meskipun selepas dia keluar daripada band Ekamatra dan muncul bersama band yang diberi nama RAHMAT. Band RAHMAT tidak bertahan lama, akhirnya, Rahmat bergerak secara solo pada tahun 1993. Rahmat muncul kali terakhir bersama album adalah pada tahun 2006 menerusi album Antologi. Sejak zaman band Ekamatra sehingga bergerak solo, imej Rahmat tidak banyak berubah. Dia masih setia dengan berkemeja-T dan seluar jeans koyak serta rambut panjang mengurai yang menjadi identiti wajib setiap penyanyi rock ketika itu. Bagaimanapun bertemu dengannya baru-baru ini, ramai yang terkejut dengan perubahan 360 darjah bapa kepada tiga orang anak itu. Berikut antara temubual wartawan dengan beliau.
|
Antara Album Rahmat yang popular suatu ketika dahulu |
|
Rahmat dengan album terbaru selepas penghijrahanya |
“Saya sedar ramai yang terkejut dengan penghijrahan imej serta diri saya termasuk rakan terdekat serta peminat tetapi penghijrahan ini ke arah kebaikan.
“Sejak berubah dan mendalami ilmu agama, jiwa saya lebih tenang dan tenteram,”
Ditanya, bagaimana boleh berlaku penghijrahan terhadap dirinya, jawabnya, semuanya berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang.
“Semuanya bermula di sebuah kedai buku pada tahun lepas. Saya terpandang sebuah buku yang menceritakan kisah Rasullullah S.A.W.
“Ketika itu saya tidak ambil kisah, tetapi apabila pulang ke rumah, fikiran saya asyik teringatkan buku itu sahaja. Dalam hati saya terdetik yang saya mesti dapatkan buku itu. Setelah membeli buku itu, timbul perasaan kagum terhadap Rasullullah S.A.W.
“Orang di kedai buku itu juga ada memberitahu saya, bahawa Yayasan Sofa ada menganjurkan kelas agama setiap hujung minggu jika saya berminat,”
Sambung Rahmat lagi, bermula dengan sebuah buku, kemudian hatinya terus terpaut untuk mendalami agama selepas menghadiri kelas agama yang diadakan oleh Yayasan Sofa.
“Pengalaman pertama saya mengikuti kelas agama Yayasan Sofa telah membuka pintu hati saya untuk mempelajari lebih lagi tentang ilmu agama .
“Selain menimba ilmu, apa yang saya sedar, jiwa saya lebih tenang. Pertuturan saya menjadi lebih lembut dan terkawal. Alhamdulillah, seluruh keluarga termasuk anak-anak menyambut baik penghijrahan saya.
“Anak-anak saya juga sering bertanya bermacam perkara mengenai Rasulullah S.A.W. Bila saya sudah ada ilmu, saya juga jadi seronok untuk berkongsi kehebatan Rasulullah S.A.W bersama mereka,”
Meskipun tampil dengan imej yang berbeza, tegas Rahmat dia masih lagi Rahmat yang sama, cuma yang berbeza adalah penampilan luaran serta pertuturan.
“Walaupun saya berjubah, tetapi hari-hari biasa, saya masih Rahmat yang sama. Jika ada permintaan untuk saya nyanyikan kembali lagu-lagu rock Ekamatra, saya masih boleh memenuhi permintaan itu.
“Tetapi dalam masa yang sama saya akan turut menyelitkan karya terbaru saya yang ke arah Islamik,”
Rahmat kini muncul dengan album solo terbaharu berjudul Semarak Cinta Rasullullah yang kini telah terjual sebanyak 10,000 unit meskipun tanpa publisiti yang meluas.
Album yang dirakam pada bulan Jun tahun ini mengandungi lima qasidah yang memuji Rasulullah S.A.W dan diterbitkan sendiri oleh Rahmat.
"Saya benar-benar merasakan ini adalah buah tangan yang bakal menyentuh hati dan jiwa pendengar.
“Respon yang diterima juga memberansangkan. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkarya kerana Allah,"
Walaupun sudah bertukar arah daripada rock ke Islamik tidak mustahil buat Rahmat untuk muncul dalam sebuah album rock Islamik atau bergandingan dengan mana-mana kumpulan nasyid popular tanah air.
“Perancangan itu ada, tetapi belum dapat direalisasikan lagi. Saya tidak menolak sebarang cadangan, walaupun menyanyi lagu rock tetapi kalau isi lagunya mengajak pendengar ke arah kebaikan, apa salahnya untuk saya mencuba.
“Inilah masa dan peluang saya untuk berbakti dan memberi sesuatu yang bermanfaat kepada peminat saya,”
Sebahagian wang yang dikutip daripada album yang dijual pada harga RM25 seunit itu akan disalurkan kepada Tabung Yayasan Sofa untuk tujuan dakwah, pendidikan, penyelidikan dan kebajikan Islam.
About author
Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.
0 comments